Sinopsis Novel Laila dan Maj'nun
Jika matahari tidak terbit,
Cukuplah wajah Laila menggantikan sinarnya,
Jika rembulan tidak timbul,
Kelembutan Laila sudah cukup menyejukkan bumi.
-(syair
majnun buat laila)
KISAH cinta Qays-Laila atau
lebih dikenali sebagai Laila Majnun merupakan kisah Arab Klasik
Terbaik. Menurut kajian ahli sastera Arab, kisah ini bukanlah cerita
dongengan semata-mata. Watak utama cerita ini iaitu Qays bin Al Mulawwah memang
benar-benar wujud pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Umayyah. Beliau
dikatakan meninggal dunia pada tahun 65 atau 68 hijrah.
Kisah Laila Majnun
sememangnya mempunyai berbagai versi kerana pada awalnya kisah ini hanya
diceritakan melalui lisan dalam bentuk syair. Pada tahun 1188 Syeikh
Nizami telah mengumpul dan menulis kisah tersebut. Meski masih ramai yang
mengumpulkan syair Laila-Majnun, tetapi hanya Nizami sahaja yang memiliki
sebuah cerita yang lengkap dan indah.
Terdapat percanggahan beberapa
ahli sejarah dan pemerhati sastera dalam menentukan permulaan
tumbuhnya cinta antara Laila dan Majnun. Sebahagian menyatakan bahawa Laila dan
Majnun saling mengenali sejak kecil dan mengembala ternakan di Bukit Tsauban.
Tidak kurang juga ada yang menyatakan Qays berjalan melintasi sekumpulan gadis
dan hanya tertarik pada Laila. Walaupun terdapat perbezaan tentang permulaan
kisah cinta Laila Majnun, namun para pengkritik dan ahli sejarah bersetuju
dengan kewujudan kisah ini melainkan Taha Husain yang meragukan
peribadi Laila Majnun.
Kisah Laila dan Majnun dikupas
oleh Nurfaridah Rubani dengan sangat teliti dalam novel ini. Buku ini juga
sangat menjaga struktur teks agar tidak menjejaskan keaslian ceritanya. Bait
syair yang terkandung dalam buku ini juga merupakan terjemahan asli daripada
naskah asal daripada Arab. Kisah cinta agung ini dimulakan dengan
Syed Omri iaitu kabilah Bani Amir di lembah Hijjaz. Beliau sangat disegani
kepimpinannya. Kekayaannya melimpah ruah dan sangat besar pengaruhnya hingga ke
negeri lain. Menyedari dirinya yang semakin uzur, Syed Omri sentiasa berdoa
kepada Tuhan agar lekas dikurniakan cahaya mata. Beliau melakukan perbagai
ikhtihar seperti doa, bermunajat, nazar dan menyedekahkan hartanya kepada fakir
miskin. Allah telah perkenankan hajat Syed Omri dengan mengurniakan seorang
cahaya mata. Namun tidak pula Syed Omri lupa diri malah semakin banyak pula doa
dan sedekah yang diberikan. Bayi itu diberi nama Qays dan dilimpahkan
kesenangan sepanjang masa.
Qays telah berguru dengan guru
terbaik di seluruh kepulauan Arab. Di sekolah, Qays merupakan seorang yang
cerdas dan senang bergaul dengan semua orang. Beliau gemar membantu rakan yang
kesusahan. Tambahan pula, Qays memiliki wajah yang tampan. Di sekolah itulah
pertama kalinya Qays terlihat seorang gadis yang sangat istimewa pada pandangan
matanya iaitu Laila. Qays juga tidak sekadar bertepuk sebelah
tangan. Gadis itu sememangnya sudah lama tertarik dengan Qays sejak
kali pertama berjumpanya. Qays sering membacakan bait-bait syairnya buat Laila.
Kisah percintaan mereka akhirnya sampai pada keluarga Laila. Perkara itu
dikatakan amat memalukan dalam kelompok Bani Qtahibiah . Bapa Laila
sangat marah dan merasa sangat malu akan hal itu. Lalu, Laila
dikurung di dalam rumah dan dikawal dengan sangat rapi.
Mulai detik itu, hidup Qays
menjadi tidak terurus. Dadanya bagai dipenuhi dengan duka yang terus berdarah.
Qays meninggalkan rumah, berjalan tidak tentu arah dan meredah hutan belantara
bersama kesedihannya. Dia mengembara sambil bibirnya hanya menyebut satu nama
iaitu Laila. Dia kehilangan semangat sejak dipisahkan dengan Laila.
Dia kerap berjalan dengan tidak berbaju dan melintasi setiap perkampungan sambil
melontarkan bait-bait syair untuk Laila. Masyarakat memanggilnya dengan gelaran
Majnun bermaksud gila. Qays benar-benar gila tanpa Laila. Nama itu terus
melekat sehingga ada yang sudah lupa dengan nama sebenarnya.
Syed Omri sangat sedih melihat
keadaan anaknya. Puteranya yang dahulunya cerdas dan boleh menyejukkan hatinya
kini sudah berubah serta merta. Mendengar nasihat isterinya, Syed Omri pergi
meminang Laila untuk puteranya. Namun lamarannya ditolak dengan alasan, bapa
Laila tidak sudi menyerahkan Laila kepada orang yang gila. Syed Omri berasa
sangat terhina dan memujuk Qays agar segera melupakan Laila. Syed Omri
meyediakan perlbagai makanan dan menyuruh Qays memilih mana-mana gadis cantik
daripada kabilahnya untuk disunting. Namun, dia tetap memilih Laila. Qays
kembali mengembara. Tinggal di dalam gua dan meredah hutan belantara sambil
membacakan syair-syair buat Laila. Alam seolah-olah kasihan melihatnya.
Binatang buas pun tidak sampai hati untuk meyakitinya. Pengembara
yang terjumpa Qays semasa bermusafir juga sangat kagum dengan jejaka itu.
Bahkan ada yang mengatakan syair-syair Majnun adalah syair yang paling indah di
jazirah Arab.
Suatu hari, seorang pemuda
bernama Ibnu Salam daripada kabilah Asad telah terpandang wajah Laila semasa di
taman. Lalu Ibnu Salam meminta kedua orang tuanya untuk meminang Laila dengan
segera. Tidak dapat dinafikan bahawa Ibnu Salam adalah jejaka terbaik dalam
kalangan Kabilah Asad. Ayah Laila dengan senang hati menerima lamaran keluarga
Ibnu Salam itu. Ketika Majnun mendengar khabar pernikahan Laila dengan Ibnu
Salam, Majnun sukar untuk mempercayainya. Hatinya berkecai. Apakah Laila telah
melupakan Majnun? Majnun terus berteriak memanggil nama Laila dan meratap nasib
cintanya. Pada masa yang sama, Laila telah berterus terang dengan Ibnu Salam
tentang perasaannya yang sebenar. Mujurlah Ibnu Salam memahami dan tidak akan
menyentuh Laila sehingga Laila sendiri yang akan menyerahkan cinta buatnya.
Sesungguhnya perasaan Laila hanya pada Majnun. Seorang pemuda bernama Ishaq
telah mencari Majnun untuk menyampaikan surat Laila buat Majnun. Laila tidak
pernah melupakan Majnun.
Berita kematian Ibnu Salam
sememangnya merupakan suatu perkara yang mengembirakan Laila. Laila
terpaksa berkabung dan berkurung selama dua tahun kerana mengikut budaya
masyarakat kabilahnya. Di rumah Laila duduk sendirian memikirkan kehidupan.
Laila berharap pertemuannya dengan Qays nanti akan mengubati
kesedihannya. Namun, Qays dikatakan telah membawa segala harapan dan
angan-angan. Pudar sudah semua harapan. Tubuh Laila menjadi kurus kerana tidak
mampu menanggung kesedihan. Laila tidak mahu dendam Bani Qhatibiah akan
mencelakakan Qays. Tidak ada seorang pun yang mampu melawan kuasa takdir. Laila
akhirnya meninggal dunia. Zayd orang kepercayaan Laila telah berlari
tanpa henti mencari Majnun. Mendengar khabar daripada Zayd, Majnun mendapat
pukulan yang sangat hebat.
Majnun tersungkur dan menangis
di atas pusara Laila. Banyak orang berusaha memujuknya, namun Majnun masih
memeluk nisan Laila. Majnun berdoa kepada Tuhan agar disatukan Laila dengannya
di Syurga. Akhirnya, kematian menjemput Majnun di sisi pusara Laila.
Kisah Laila Majnun kian tersebar di seluruh tanah Arab. Cinta Majnun dan Laila
adalah cinta yang dimurnikan dengan penderitaan dunia, kelak mendapat limpahan
cahaya. Inilah kuasa cinta!
kupasan yang menarik tentang kisah layla majnun,.,.,
BalasHapus